Sunday 3 March 2013

PENDAHULUAN

1. Lembaga Siasatan adalah salah satu daripada pengurusan    pentadbiran yang sering digunakan bagi mengenalpasti sesuatu punca kejadian di dalam Tentera Darat. Laporan Lembaga Siasatan akan dijadikan asas utama didalam proses penyelesaian sesuatu kejadian dan digunakan bagi membantu pemerintah-pemerintah di dalam menetapkan keputusan yang bersesuaian. Sesuatu siasatan akan menjurus kepada perkara-perkara yang rumit dan teknikal serta melibatkan kepelbagaian prosedur, peraturan dan perundangan. Justeru, adalah wajar bagi Tentera Darat mengguna pakai satu jenis panduan Lembaga Siasatan bagi membantu serta menyeragamkan pelaksanaan dan pengendalian sesuatu Lembaga Siasatan.

2. Peruntukan mengenai Lembaga Siasatan adalah termaktub di bawah Seksyen 147 Akta Angkatan Tentera 1972. Menurut seksyen ini, Menteri Pertahanan diberi kuasa membuat kaedah-kaedah berkenaan dengan mana-mana Lembaga Siasatan. Kaedah-kaedah tersebut telahpun digubal melalui Kaedah-Kaedah Angkatan Tentera (Lembaga Siasatan) 1976 ataupun PU(A) 160. Kaedah ini telah menggariskan aturcara penubuhan sesuatu Lembaga Siasatan.


TUJUAN

3. Tujuan Panduan Lembaga Siasatan ini adalah seperti berikut :
  • Menyeragamkan perlaksanaan Lembaga Siasatan di dalam Tentera Darat.
  • Memastikan Lembaga Siasatan dikendalikan sejajar dengan peruntukan perundangan.
  • Menggariskan prosedur menyidangkan Lembaga Siasatan.
  • Menggariskan tugas dan tanggungjawab Lembaga Siasatan.
  • Menggariskan sebarang tindakan ke atas penetapan yang dibuat oleh Lembaga Siasatan.
TAFSIRAN

4. Peruntukan berikut adalah diguna pakai bagi tafsiran-tafsiran di dalam Panduan ini:
  •  Akta Angkatan Tentera 1972.
  • Akta Keterangan 1950.
  • Akta Tafsiran 1948 dan 1967.
  • Kaedah-kaedah Acara Angkatan Tentera (Lembaga Siasatan)1976.
  • Lain-Lain rujukan Undang-Undang yang berkenaan.
5. Di dalam Panduan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, perkataan-perkataan berikut adalah bermaksud seperti yang dinyatakan :
  • Enakmen” ertinya ‘The Malay Regiment Enactment’.
  • Lembaga” ertinya Lembaga Siasatan.
  • Perkara yang dirujuk” ertinya perkara ataupun kejadian yang dirujukkan kepada Lembaga untuk disiasat (terms of reference).
  • Pihak Berkuasa” ertinya Majlis Angkatan Tentera atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa oleh atau di bawah Kaedah-Kaedah Angkatan Tentera (Lembaga Siasatan) 1976 untuk memanggil bersidang sesuatu Lembaga.
  • Harta Awam” ertinya apa-apa harta sama ada harta alih atau harta tidak alih atau wisma-wisma pasukan atau harta kepunyaan mana-mana jabatan Kerajaan Persekutuan atau dipegang bagi maksud mana-mana jabatan itu.
  • Harta Perkhidmatan” termasuklah harta kepunyaan sesuatu unit, institusi atau mana-mana pertubuhan tempatan yang bersamaan dengan intitut-institut Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara.

No comments:

Post a Comment